Bulan Rejab adalah antara bulan-bulan Haram yang digalakkan berpuasa. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyatakan kepada seorang....
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram atau bulan yang dihormati dan dimuliakan dalam Islam. Bulan-Bulan Haram itu ialah Bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman dalam surah at-Taubah ayat 36:
Yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan (yang telah ditetapkan) dalam kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi termasuk antaranya empat bulan yang dihormati. Itulah ketetapan agama yang lurus maka janganlah kamu menzalimi diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik semuanya sebagaimana mereka memerangi kamu semua. Dan ketahuilah bahawa Allah bersama-sama orang yang bertaqwa.”
Rejab daripada segi bahasa bermaksud menghormati dan memuliakan. Masyarakat Arab Jahiliyyah sangat menghormati dan memuliakan bulan-bulan haram sehingga mereka tidak membenarkan untuk berperang pada bulan-bulan ini. Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan tentang kelebihan Bulan Rejab dengan membawa pendapat Ibn Abbas Radiallahu Anhu yang menjelaskan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan dalam bulan-bulan Haram ini dosanya lebih besar, begitu juga amal soleh yang dilakukan pada bulan ini pahalanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
Bulan Rejab adalah antara bulan-bulan Haram yang digalakkan berpuasa. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menyatakan kepada seorang sahabat yang ingin berpuasa sunat agar melaksanakannya pada bulan-bulan Haram melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud:
Yang bermaksud: “...Berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah, berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. berpuasalah sebahagian daripada bulan-bulan haram dan tinggalkanlah. Baginda mengisyaratkan dengan jarinya yang tiga kemudian Baginda menggegamnya, kemudian melepaskannya.”
Menurut pendapat ulama-ulama dalam Mazhab Syafii antaranya Imam Ibnu Solah berkata: Hadis mengenai kelebihan puasa secara umum dan hadis-hadis mengenai galakan berpuasa pada bulan-bulan haram (Zulkaedah, Zulhijah, Muharram dan Rejab) sudah cukup untuk menggalakkan berpuasa pada bulan Rejab.
Di antara keutamaan bulan Rejab juga ialah, malam pertama pada bulan Rejab itu adalah malam yang dimustajabkan doa. Imam Syafii menyatakan dalam kitab al-Umm:
Yang bermaksud: “Sesunguhnya doa dikabulkan pada lima malam: Malam Jumaat, malam Hari Raya Idul Adha, malam hari raya Idul Fitri, malam pertama bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”
Seorang ahli Sufi Abu Bakar al-Warraq mengatakan:
Yang bermaksud: “Bulan Rejab adalah bulan menanam, bulan Sya’ban adalah bulan menyiram dan bulan Ramadan adalah bulan menuai.”
Berdasarkan beberapa dalil yang telah dinyatakan, kita cenderung menyatakan bahawa secara mutlak kita disunatkan melakukan Fadha’ilil A’mal iaitu amalan-amalan sunat pada Bulan Rejab begitu juga tidak ada suatu perintah mutlak melarang untuk kita melakukan amalan-amalan sunat tertentu dalam Bulan Rejab.
Menurut sebahagian ahli sejarah bahawa dalam bulan Rejab berlakunya beberapa peristiwa bersejarah kepada umat Islam antaranya ialah peristiwa Israk dan Mikraj. Di kemuncak peristiwa inilah Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah memfardhukan solat lima waktu kepada umat Islam. Pada Bulan Rejab juga Imam Al-Syafii dilahirkan, hijrah pertama ke Habsyah, Perang Tabuk dan pembebasan Baitul Maqdis daripada tangan tentera Salib.
Hikmah daripada kemuliaan dan kelebihan yang ada dalam Rejab ini ialah mengajar dan mengajak umat Islam agar memperbanyakkan ketaatan dan menghindari kemaksiatan. Antara amalan yang dituntut untuk dilaksanakan ialah seperti berpuasa, memperbanyakkan berdoa, qiamullail, membaca al-Quran, mendirikan solat-solat sunat, berzikir, beristighfar, berselawat, menyantuni orang-orang yang memerlukan bantuan dan lain-lain. Kita juga digalakkan untuk lebih saling hormat menghormati sesama kita, elakkan perbuatan tuduh menuduh, kata mengata, fitnah memfitnah, mengumpat, mengeji dan mencela pada bulan-bulan haram yang mulia ini. Seseorang itu boleh melakukan apa jua amalan-amalan sunat dan ia bukanlah amalan-amalan yang diwajibkan melaksanakannya. Semua amalan yang dilakukan hanyalah untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala di akhirat nanti. Renungilah Firman Allah Subhanahu Wa-ta'ala dalam surah at-Taubah ayat 105:
Yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) “Beramallah kamu (dengan segala yang diperintahkan). Maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat amalan kamu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kamu apa yang telah kamu lakukan.”
Sumber dari Khutbah Jumaat : Jabatan Mufti Negeri Pahang (20/1/2023)
COMMENTS