Dalam era masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi...
Asas akidah Islam ialah beriman kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala dan risalah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita dituntut mentauhidkan Allah Subhanahu wa-Ta’ala secara ilmu dan amal serta melarang melakukan perkara syirik baik secara i’tiqad, percakapan dan tingkah laku.
Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah Subhanahu wa-Ta’ala, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam surah Ali- Imran ayat 19:
Yang bermaksud: ”Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
Dalam era masa kini telah mendedahkan umat Islam kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya.
Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay, seks bebas dan sebagainya. Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan iman sebahagian anggota keluarga terutamanya ibu-bapa sebagai ketua keluarga sedangkan merekalah yang paling utama dalam mendidik anakanak kepada penghayatan ajaran dan akidah Islam.
Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam. Tanggungjawab memperkasakan akidah ini adalah merupakan tanggungjawab utama pemerintah sebagaimana contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam membangunkan akidah ini melalui institusi masjid dengan mengajak para sahabat dan keluarga baginda mendirikan solat secara berjemaah dan majlis ilmu. Inilah sepatutnya dilakukan oleh kita semua sama ada pemimpin atau rakyat biasa sebagai contoh tauladan yang baik daripada Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam hadis riwayat Imam Muslim:
Yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin mudah bertemu Allah Subhanahu wa-Ta’ala pada hari kiamat nanti dalam keadaan Islam maka hendaklah ia menjaga solat-solat fardu dengan menunaikan di tempat azan dilaungkan (masjid), Sesungguhnya Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah mensyariatkan kepada nabi kamu sunnah-sunnah petunjuk, dan sesungguhnya solat berjemaah itu antara sunnah-sunnah petunjuk itu, kalau kamu solat di rumah sebagaimana seseorang yang tidak hadir di masjid, atau solat di rumahnya, maka kamu telah meninggalkan sunnah nabi kamu, sekiranya kamu tinggalkan sunnah nabi kamu, maka kamu akan sesat. Tidaklah seseorang berwuduk dengan memperelokkan wuduknya, kemudian ia menuju salah satu masjid yang ada, melainkan Allah Subhanahu wa-Ta’ala menulis kebaikan baginya dari setiap langkah kakinya, dan dengannya Allah Subhanahu wa-Ta’ala mengangkat darjatnya, dan menghapuskan kesalahan kerananya, menurut pendapat kami, tidaklah seseorang ketinggalan dari solat berjemaah, melainkan dia seorang munafik yang jelas kemunafikannya. Sesungguhnya ada diantara kita dipapah di antara dua orang hingga didirikan di saf solat (solat berjemaah).”
Daripada hadis ini menunjukkan bahawa mendirikan solat berjemaah merupakan di antara sunnah-sunnah yang sepatutnya diteladani oleh kita semua.
Kita mengharapkan pihak berkuasa memandang serius terhadap aktiviti dan program yang mengancam akidah Islam dan hendaklah menyekatnya supaya tidak berleluasa.
Pihak musuh Islam sudah lama merancang secara halus untuk mengikis akidah umatnya. Ini termasuklah penganjuran konsert hiburan yang melampau, minuman yang mengkhayalkan dan ancaman daripada fahaman yang merosakkan pemikiran orang Islam. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam surah al-Nisa’ ayat 136:
Yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya.”
Sumber asal khutbah Jumaat - Jabatan Mufti Negeri Pahang (23/12/2022)
COMMENTS