Kelulusan yang diberikan ini adalah susulan lawatan yang telah dibuat oleh para pegawai yang dilantik oleh MUIP bagi menyemak dan menilai kurikulum...
PEKAN, 17 Jun 2022 ( Jumaat ) Sebanyak 12 buah sekolah menerima surat kelulusan berdaftar dengan Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang ( MUIP ).
Majlis penyerahan surat kelulusan yang diadakan di Dewan Syarahan Ibu Pejabat MUIP Pekan tersebut dihadiri kira-kira 30 orang peserta terdiri daripada pengetua, guru besar dan ahli jawatankuasa sekolah maahad tahfiz, madrasah, SARKAFA dan juga Tadika Islam.
Majlis dimulakan dengan Taklimat Pengurusan Pendaftaran yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Azri bin Salehud-din selaku Ketua Unit Pendidikan MUIP disusuli Taklimat Penubuhan KAFA oleh wakil Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang ( JAIP ).
Sebanyak 5 buah sekolah berdaftar kategori maahad tahfiz, 4 buah SAR KAFA, 1buah sekolah rendah dan 2 tadika Islam.
Kelulusan yang diberikan ini adalah susulan lawatan yang telah dibuat oleh para pegawai yang dilantik oleh MUIP bagi menyemak dan menilai kurikulum dan pengoperasian sekolah tersebut sebelum diluluskan oleh Jawatankuasa. Sekolah ini juga telah melepasi syarat dan sokongan pihak berkuasa tempatan terutamanya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang.
Dr.Haji Asmadi bin Abdul Rahman yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif MUIP dalam ucapannya menyarankan agar pihak sekolah mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan sentiasa menjaga imej institusi agama terutama pendidikan, keselamatan dan sebagainya.
MUIP juga ada menyalurkan sumbangan agihan zakat kepada sekolah yang berdaftar seperti skim Bantuan Dermasiswa, Bantuan Elaun Kelas Al-Quran Kanak-Kanak, Skim Bantuan Am Pendidikan dan sebagainya berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
Sumber : Facebook Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang
COMMENTS